Pages

Followers

Wednesday, March 7, 2012

Kemalangan Maut Jln Kulai - Kota Tinggi

Fazlina Othman ditenangkan oleh ahli keluarganya.



Sumber dipetik dari Utusan Malaysia Online.


KOTA TINGGI 6 Mac - Hasrat seorang gadis mengikat tali pertunangannya pada 17 Mac ini tidak kesampaian apabila bakal tunangnya maut dalam kemalangan di Kampung Sri Jaya di Kilometer 28.5 Jalan Kulaijaya-Kota Tinggi di sini semalam.


Lebih menyayat hati, tragedi pukul 2.40 petang itu turut meragut nyawa ibu dan kakak gadis tersebut.


Mangsa yang terbunuh ialah bakal tunang Fazlina Othman, 25, iaitu Muhammad Hazwan Ahmad, 25, serta ibu dan kakak Fazlina, Saemah Mantu, 65, dan Fatimah, 35.


Ketiga-tiga mangsa termasuk Fazlina dan seorang anak saudaranya, Ahmad Razim Faizal, 3, dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Felda Air Tawar 1, sebelum kereta dipandu Muhammad Hazwan bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan ikan.


Dalam kejadian itu, Fazlina cedera di tangan kiri, manakala Ahmad Razim yang cedera di kepala kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Pemandu lori berusia 33 tahun itu bagaimanapun hanya cedera ringan.


Jenazah Muhammad Hazwan yang berasal dari Kampung Pasir Kuala Dipang, Perak dikebumikan di kampungnya, manakala Saemah dan Fatimah dikebumikan di Tanah

Perkuburan Islam Felda Air Tawar 1 , semalam.


Menceritakan kejadian itu, Fazlina yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung setelah selesai urusan membeli barang keperluan persiapan pertunangan.


Menurutnya, ketika kejadian, dia yang duduk di bahagian penumpang depan tidur dan hanya tersedar selepas kereta Proton Saga BLM yang dipandu bakal tunangnya tiba-tiba bertembung dengan lori berkenaan.


"Saya terkejut dengan apa yang berlaku, namun reda dengan ketentuan ini.


"Apa yang lebih menyedihkan adalah hajat ibu untuk melihat majlis kami berlangsung tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi di sini.


Fazlina memberitahu, kepulangan mereka memang dinanti-nantikan ahli keluarga yang lain kerana mahu membincangkan persiapan majlis pertunangannya yang akan diadakan serentak sempena pernikahan abangnya pada 17 Mac ini.


Katanya, mereka bertolak ke Kuala Lumpur beberapa hari sebelum kejadian dengan menaiki bas dan pulang menaiki kereta yang dipandu bakal tunangnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.


Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah Kulaijaya ke Kota Tinggi hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.



Al-Fatihah buat sepupu ku Muhammad Hazwan bin Ahmad..Aku turut bersimpati dengan bakal tunangnya yang kehilangan 3 orang yang paling disayangi sekaligus..Semoga beliau tabah mengharungi dugaan ini..besar dugaanmu dik..


Buat Mak Ngah Da dan keluarga, redho dengan pemergiannya..Semoga beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman..Allah lebih menyayangi beliau.


P/s : Aku sempat menziarahi jenazah. Suasana sedih dan pilu tapi aku tengok raut muka arwah masih macam dulu, nampak macam masih tidur..Allahuakbar!!

No comments:

Flame